Entri pertama saya di sini lebih sesuai dimulakan dengan perasaan yang lebih berbunga-bunga. Lebih baik bercerita tentang rahsia yang kini telah terurai. Apa agaknya komen jejaka-jejaka bujang di Malaysia dengan pilihan Siti Nurhaliza ? Tentu ada yang terkejut ? Ada juga yang tersentak ? Tidak kurang juga yang menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

Akhirnya terjawab juga segala rahsia yang sering bermain-main dalam minda para peminat, wartawan, pembancuh air, tukang kimpal, jurutera, doktor, pekerja kilang, surirumah siapa pilihan Siti Nurhaliza. Pelbagai reaksi diterima. Ada yang positif ada yang negatif ada juga yang berada di atas pagar. Ada juga yang bertindak nekad sudah mula menyimpan album-album Siti Nurhaliza di dalam kotak. Ada juga yang mahu memulangkan semula album-album gambar Siti Nurhaliza. Kecoh benar dunia hiburan tanahair sejak akhir-akhir ini. Ada yang umum perkahwinan, ada yang bercerai, ada juga yang putus tunang. Semuanya mahu dibaca.

Siti Nurhaliza ibarat Puteri Gunung Ledang. Menagihkan kasih seorang Hang Tuah ! Siapakah Hang Tuahnya sudah pun terjawab. Adakah umum akan berhenti berbicara ? Sudah pasti tidak. Terlalu panjang checklist mereka berkenaan Siti Nurhaliza yang harus diupdate !

Antaranya :

1. Memastikan lokasi perkahwinan adalah benar dan bukannya decoy. Ini untuk memastikan agar mereka berpeluang untuk melakukan ”gatecrash” ke majlis tersebut.
2. Memastikan tarikh perkahwinan ada benar dan bukannya decoy semata-mata. Malu besar kalau silap tarikh.
3. Membandingkan harga cincin yang pernah dihadiahkan kepada Normala Shamsudin dengan cincin Siti Nurhaliza.
4. Memastikan ada sesi bersama peminat walaupun peminat hanya boleh nampak dari jarak yang amat jauh.
5. Mencongak jumlah hantar yang akan dihadiahkan kepada Siti Nurhaliza.
6. Membelek-belek majalah untuk menyesuaikan konsep pakaian pengantin Siti Nurhaliza dengan konsep pakaian sendiri.
7. Mencongak harga pakaian pengantin yang akan dipakai oleh Siti Nurhaliza.
8. Berfantasi apakah konsep solekan yang akan digunakan oleh Siti Nurhaliza.
9. Meneka-neka konsep warna pakaian Datuk K untuk memastikannya sedondon dengan Siti Nurhaliza
10. Terfikir-fikir sama ada ingin menyimpan misai atau pun tidak untuk majlis tersebut.

Cukuplah 10 dulu, kalau ada yang ingin tambah. Boleh tambah di ruangan komen.

Bercerita tentang Puteri Gunung Ledang, teater yang mencetuskan fenomena di Istana Budaya itu akan kembali menemui penonton mulai 6 Ogos ini. Khabarnya ada banyak kelainan yang lebih segar ditampilkan agar penonton dapat merasai satu keajaibab dalam dunia teater Melayu. Bunyinya kedengaran agak gah dan sombong ! Sempat juga saya singgah di sesi latihan, dan melodi lagu-lagunya kembali berputar di dalam kepala ini. Mood melodi lagu tersebut memang sesuai untuk ketika ini yang penuh dengan keindahan alam cinta. Adakah anda juga seperti saya ternanti-nantikan dua acara penting ini walaupun saya lebih mengutamakan Puteri Gunung Ledang turun dari kayangan ke Istana Budaya dari Siti Nurhaliza naik ke kayangan bersama Prince Charming (Tom Selleck) nya.